Beliau berkata, cadangan tersebut masih di peringkat kajian awal dan belum dibawa ke mesyuarat Majlis Mara, malah belum dirujuk kepada kementerian untuk proses kelulusan.
Ismail Sabri berkata, cadangan berkenaan timbul kerana beliau mahu meningkatkan lagi tempat di MRSM untuk masyarakat miskin luar bandar khususnya.
“Cadangan ini masih di peringkat kajian dan kita mengalu-alukan sebarang komen daripada semua pihak tanpa perlu berdemonstrasi di atas fakta yang salah,” katanya.
Beliau berkata, oleh kerana sistem pendidikan Mara yang merangkumi aspek rohani dan jasmani, maka MRSM menjadi pilihan ramai ibu bapa pelajar yang menginginkan anak mereka mendapat pendidikan di sini.
“Ibu bapa berpendapatan tinggi juga mahu anak mereka untuk bersekolah di MRSM, sedangkan mereka sudah mempunyai kehidupan yang baik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah mereka,” katanya.
Oleh itu, kata Ismail Sabri, cadangan penubuhan MRSM berbayar ini hanya mengkhususkan kepada mereka yang dalam golongan berkemampuan sahaja.
Inisiatif ini katanya, akan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak dari golongan berpendapatan rendah yang berpotensi digilap untuk mencapai kecemerlangan akademik, kemudian mempunyai lebih peluang untuk ke MRSM sedia ada.
Beliau percaya, pelajar miskin luar bandar akan lebih berjaya jika mendapat tempat belajar yang persekitarannya sesuai untuk pendidikan, keadaan terkawal dan berdisiplin serta memiliki kelengkapan mencukupi serta guru yang baik.
“Maka MRSM merupakan salah satu contoh terbaik. Bagaimanapun tempat yang terhad menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar dari golongan berada untuk merebut tempat ke MRSM.
“Dengan mewujudkan MRSM khusus berbayar, tempat yang diisi oleh pelajar golongan berada boleh diberi kepada pelajar miskin luar bandar,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, ramai yang keliru dan menganggap MRSM berbayar adalah bagi MRSM sedia ada.
“Sebenarnya cadangan MRSM berbayar adalah MRSM baharu yang khusus untuk pelajar berada. Jika ramai anak orang berada belajar di sekolah swasta, tidak ada sebab mereka tidak boleh belajar di MRSM berbayar.
“Jadi, mereka tidak perlu berebut tempat dengan pelajar miskin luar bandar di MRSM sedia ada. Tempat mereka boleh diisi oleh pelajar miskin luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan cadangan MRSM berbayar timbul setelah Mara mengalami potongan bajet sebanyak RM2 bilion.
“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya menegaskan bahawa bajet bagi pendidikan Mara adalah masih sama. Dengan adanya MRSM ini, ia akan meningkatkan peluang atau akses golongan yang berpendapatan tinggi untuk melanjutkan pengajian di MRSM,” ujarnya.
Malah, katanya, jika direalisasikan, MRSM berbayar akan tetap menggunakan sistem sama diguna pakai di MRSM seluruh negara.
“Saya beri jaminan di sini bahawa saya akan pastikan MRSM ini kembali dan kekal dengan roh objektif penubuhannya untuk memberi peluang terbaik kepada golongan miskin luar bandar termasuk jugalah miskin bandar untuk merubah destini masa depan mereka melalui pendidikan,” katanya. –SH Online