Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, sekiranya parti baharu bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain terutama Pas dan Pakatan Harapan menentang BN, ia bakal membawa masalah besar kepada parti pemerintah itu.
Menurutnya, walaupun ramai mengatakan parti baharu itu wujud kerana tidak puas hati dan survivalnya tidak akan bertahan lama, tetapi jika mereka tekad dalam memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera, ia pasti mendapat tempat.
“Sekiranya mereka ada visi jelas terutama memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera, menjaga kebajikan semua lapisan rakyat termasuk generasi muda, pastinya ia akan memberi kesan di hati penyokong.
“Ia juga boleh membuat reformasi sistem politik dan pentadbiran negara supaya lebih telus dan terbuka selain bertanggungjawab kepada rakyat.
“Jika perkara itu dilakukan parti baru itu, ia boleh memberi kesan kepada BN dalam PRU14 nanti,” katanya.
Berkenaan ciri-ciri kepimpinan sama ada hebat atau tidak dalam parti baharu itu, jelasnya, ia subjektif dan tidak boleh dipandang remeh.
“Kalaulah mereka ini tidak hebat, macam mana kita lantik mereka sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri, dan menteri besar sebelum ini.
“Buat masa ini, survival parti baru sama ada bertahan atau sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan dan kemampuan pemimpin mereka merancang strategi,” katanya. – Sinar Harian