Pada tahun lepas juga berlaku kes kelewatan penyaluran wang peruntukan SJKC, namun Kementerian Pendidikan tidak dapat memberikan penjelasan. Akhirnya terbongkar apabila wang tersebut digunakan untuk bantuan banjir dan langkah tersebut tidak boleh diterima oleh masyarakat Cina.
Sejak dulu lagi SJKC tidak mendapat keadilan sewajarnya daripada pihak kerajaan dan janji-janji untuk memberi peruntukan kewangan selalu tidak ditepati.
Menteri Kewangan Kedua, Johari Abd Ghani juga membidas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid kerana kementerian tersebut gagal menyalurkan peruntukan kepada SJKC bagi tahun 2016. Beliau juga menegur kenyataan Mahdzir yang meminta pihak SJKC supaya “ambil dulu apa yang ada” dan masyarakat Cina juga sukar menerima kenyataan tersebut.
Peruntukan wang sudah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan, tetapi wang tersebut tidak diagihkan kepada SJKC tetapi dibelanjakan ke tempat lain. Oleh itu, Menteri Pendidikan perlu menjelaskan perkara tersebut, manakala Kementerian Pendidikan terutama wakil MCA yang dilantik sebagai Timbalan Menteri, Chong Sin Woon perlu bertanggungjawab untuk menyiasat ke mana wang tersebut digunakan, sementara pihak yang melakukan penyelewengan perlu dikenakan tindakan.
Semasa mengadakan sidang akhbar kelmarin, Sin Woon mengesahkan kekurangan peruntukan menyebabkan SJKC tidak menerima RM50 juta seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016. Beliau berharap kabinet segera menyelesaikan masalah tersebut agar SJKC mendapat peruntukan sepenuhnya.
Perlu diingatkan bahawa SJKC dan pendidikan Cina amat penting bagi masyarakat Cina. Bagi menyelesaikan masalah peruntukan SJKC yang sentiasa hilang dan lesap, maka kerajaan hendaklah melaksankan sistem bayaran secara pukal supaya sekolah pelbagai aliran mendapat keadilan. – China Press