Jangan kejut harimau tidur, amaran Mat Said

Ahmad, 59, yang menyertai UMNO sejak berusia 18 tahun, berkata setakat ini beliau mahu terus berkhidmat untuk UMNO tetapi tidak pasti sampai bila mampu bertahan dan berharap tiada pihak terus mempertikai serta mencabar kesetiaannya kepada parti.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menghantar orang untuk berjumpa dengan saya untuk mengajak masuk PPBM. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menawarkan kepada saya untuk menjadi Ahli Mesyuarat Tertinggi PPBM.

“Setakat ini, saya nak tengok dulu. Saya tak jawab lagi…tetapi tidak tahulah sampai bila, kalau desakan bertalu-talu saya takut saya tidak dapat bertahan,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kemaman, di sini.

Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata selain PPBM, beliau pernah ditawarkan menganggotai parti PAS, PKR dan Amanah, namun menolak kerana tidak mahu mengkhianati UMNO.

Kata Ahmad, beliau tekad untuk terus kekal bersama-sama Umno bagi melihat perubahan yang bakal dilakukan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berhubung kemelut politik di Terengganu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Najib telah memanggil beberapa orang Adun untuk mendengar sendiri apa masalah yang membelenggu negeri ini.

“Najib janji untuk mengadakan perubahan. Saya masih lagi ahli UMNO…saya tidak berdendam cuma jangan kejutkan harimau yang sedang tidur,” katanya yang turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memandang rendah kepada kemunculan parti baharu.

Sementara itu, Ahmad meminta supaya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca apabila hanya 686 daripada 973 perwakilan UMNO bahagian itu menghadiri persidangan perwakilan berkenaan.

Kemaman menjadi satu-satunya bahagian di Terengganu yang persidangan perwakilannya dirasmikan sendiri ketua bahagian dan Ahmad berkata walaupun menghadapi kekangan dari pelbagai sudut, beliau tetap berharap perwakilan akan terus memberi sokongan kepadanya serta parti.– Bernama

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri