Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan mendedahkan rahsia kerajaan kerana mahu mengejar populariti politik oleh sesetengah individu yang sudah keluar dari kerajaan hanya akan mengancam kestabilan termasuk dari sudut ekonomi, sosial dan keselamatan negara.
Menurut beliau, kesemua pegawai tertinggi kerajaan dan menteri telah melafazkan sumpah untuk melindungi serta mempertahankan rahsia kerajaan, jadi dalam keadaan apa sekali pun mereka tidak berhak untuk mendedahkan kepada khalayak umum.
“Saya melihat tindak tanduk seperti ini semakin berleluasa, bila tak lagi bersama kerajaan (keluar dari BN), mereka ini tanpa rasa bersalah mendedahkan satu persatu perkara-perkara sulit membabitkan pentadbiran negara.
“Jangan hanya kerana mahu mengejar kepentingan politik dan meraih undi, keselamatan dan kestabilan negara jadi barang gadaian,” katanya.
Nur Jazlan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Pulai berkata, sikap tidak amanah itu perlu dibendung segera kerana jika dibiarkan berleluasa hanya akan merosakkan negara.
Jelas beliau, isu kerahsiaan ini bukan perkara baharu, semua pemimpin yang dipilih memang tahu pantang larangnya, jadi suatu tindakan perlu dilakukan kerajaan demi manfaat semua pihak.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil langkah-langkah pencegahan segera termasuk tindakan pendakwaan terhadap mereka yang melanggar sumpah kerahsiaan ini.
“Kita perlu utamakan kepentingan negara berbanding populariti politik,” katanya, memetik Sinar Harian.