Jangan berkempen di surau dan masjid – Noh Omar

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ia bagi memastikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya pihak masjid dan surau tidak menjadikan tazkirah sepanjang Ramadan sebagai ceramah politik, dipatuhi semua pihak.

“Sepanjang tempoh kempen dalam bulan Ramadan ini, tidak bolehlah guna masjid dan surau untuk berkempen, semua pihak perlu patuhi titah Sultan Selangor termasuk juga UMNO,” katanya selepas menghadiri Karnival Usahawan Sungai Besar hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Noh berkata, penceramah dan pendakwah yang tidak mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga tidak sepatutnya dibenarkan untuk menyampaikan tazkirah.

Sultan Selangor baru-baru ini mengingatkan semua masjid dan surau di negeri ini supaya tidak menjadikan tazkirah sepanjang Ramadan sebagai ceramah politik serta mengambil imam luar untuk solat tarawih.

Peringatan itu disampaikan baginda kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Haris yang dipetik sebuah akhbar sebagai berkata, baginda melarang isi kandungan tazkirah menyentuh isu-isu sensitif yang menyinggung pihak-pihak tertentu kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak senang hati serta perpecahan dalam masyarakat.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK itu diadakan pada 18 Jun, manakala penamaan calon ditetapkan pada Ahad ini.

Related posts

Jangan keterlaluan memuji saya – Budiman

Tiada sabotaj dalam BN kunci kemenangan besar

PAS harap undi protes untuk menang