Memetik tulisannya di Sinar Online, pada Isnin, penceramah dan pensyarah itu berkata, beliau turut mengharapkan kemenangan bekas mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng mewakili Barisan Nasional (BN).
“Walaupun saya dihalang ke Sarawak, saya tetap menyeru pengundi Sarawak menolak parti perkauman ultra kiasu dalam PRN ke-11 negeri itu.
“Saya harap rakan saya, Dr Juanda Jaya akan menang di kawasan yang ditandingi, begitu juga calon lain. PAS dikatakan mustahil untuk mendapat anak sulung, namun dalam politik tidak ada yang mustahil,” katanya, memetik tulisan tersebut.
Ridhuan berkata, tanpa memetik nama parti itu secara spesifik, parti ultra kiasu hanya boleh dimenangkan di kawasan majoriti Cina, dan disebabkan itu, mereka berhempas-pulas untuk menang di kawasan majoriti bukan Cina.
“Alhamdulillah, rakyat masih boleh menilai kebusukan mereka.
“Tahniah kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem kerana turut menghalang pemimpin ultra kiasu untuk berkempen di sana. Tidak mengapalah saya tidak dibenarkan ke Sarawak. Banyak tempat lain yang boleh saya pergi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai dae.
“Amat malang sekali, apabila ada pemimpin membuat sesuatu keputusan tanpa mendengar dan mengenal hati budi seseorang. Panggillah berhadapan. Tidak mengapalah, masa ini masa dia. Mungkin akan tiba masa saya,” katanya.
Ridhuan berkata, beliau tetap menerima keputusan kerajaan negeri itu sedangkan beliau sering kali mengangkat contoh 1Malaysia yang diamalkan penduduk di Sabah dan Sarawak adalah yang terbaik ketika memberi kuliahnya.
“Jika mahu melihat 1Malaysia, pergilah ke Sabah Sarawak. Begitu banyak etnik, tetapi dapat hidup aman harmoni serta saling menghormati. Bukan seperti Semenanjung, hanya ada tiga kumpulan etnik, perang mulut tidak pernah habis,” katanya.
Beliau turut merasakan pasukan yang dipimpin Adenan dalam PRN kali ini akan menang besar, namun memberi amaran agar parti ultra kiasu tidak menambah kerusi mereka.
“Semua pihak meramalkan pasukan Adenan Satem akan menang besar dalam PRN ke-11. Selaku pengkaji politik, saya pun berpandangan sedemikian.
“Cuma bagaimanakah cara untuk memastikan ultra kiasu tidak menang atau menambah kerusi. Tetapi jangan terlalu yakin dan angkuh, kerana politik adalah sesuatu yang serba mungkin. Menang boleh jadi kalah, kalah boleh jadi menang.” katanya.
Pengundi Sarawak juga katanya mesti sedar bahawa ultra kiasu adalah parti perkauman dan akan sampai bila pun akan terus bersikap perkauman, walaupun mereka mencanangkan diversiti.
“Tindak-tanduk mereka tidak menampakkan sedemikian. Pengiktirafan UEC dan bantuan sekolah yang diberikan adalah satu kemenangan besar kepada mereka. Tetapi biasanya, mereka tidak pernah berasa cukup.”