Jangan ambil tindakan terhadap peminjam TEKUN – Budiman

Kata Budiman, sebarang tindakan perundangan perlu ditangguhkan sementara menunggu cadangan penyelesaian dan penjelasan lanjut daripada pihak peniaga.

“Untuk dan bagi pihak peniaga, saya menyatakan bahawa mereka semua ambil maklum dan sedar sepenuhnya bahawa setiap pinjaman TEKUN tersebut hendaklah dilunaskan dan ini menjadi prinsip utama yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat.

“Mereka juga sedar pinjaman yang dlunaskan akan memberi peluang kepada lebih ramai bakal peminjam menikmati pinjaman ini.

“Justeru, saya memohon jasa baik dan kuasa budi bicara pihak TEKUN untuk tidak mengambil tindakan guaman terhadap kegagalan mereka,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Sungai Besar pada Jumaat.

Lebih 30 orang peminjam pinjaman TEKUN di Sungai Besar dikejutkan dengan Notis Tuntutan Guaman Pinjaman TEKUN seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu kerana mempunyai tunggakkan pinjaman yang belum dilangsaikan.

Budiman turut mengingatkan kepada peminjam-peminjam supaya tidak mengambil sikap diam diri selepas menerima notis tersebut.

“Ada pelan perundingan tetapi notis ini perlu dijawab, perlu dimaklumkan kepada TEKUN. Kalau tidak mampu bayar RM500, cuma mampu RM300, tulis surat beritahu TEKUN, jangan lari.

“Hutang perlu dibayar untuk kemudahan orang lain,” tegasnya.

Tambah Budiman lagi, beliau akan cuba membantu peminjam-peminjam tersebut supaya tidak ada kes yang perlu dibawa hingga ke mahkamah.

“Saya cuba bantu, jangan sampai masuk mahkamah. Surat-surat peminjam saya ambil semua untuk saya serahkan kepada pihak TEKUN supaya tidak diambil tindakan undang-undang.

“Saya akan hantar sendiri secepat mungkin di ibu pejabat TEKUN,” ujarnya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia