JAIS Seru Orang Islam Berhati-hati, Halang Aktiviti Membabitkan Mawla Mohamed Amin

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghalang sebarang bentuk aktiviti membabitkan individu dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil pemantauan, pihaknya mendapati sebuah madrasah di negeri ini disyaki sebagai hos kepada individu terbabit sepanjang berada di Selangor tahun lalu.

Menurutnya, beberapa pihak mendakwa individu bernama Habib Maulana Muhammad Amin Al-Idrisi Al-Hasani adalah cicit Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada sebarang fakta jelas, keterangan pihak atau susur galur yang boleh menyokong dan membuktikan dakwaan terbabit.

“Sepanjang 2023, JAIS menghalang penganjuran apa-apa bentuk aktiviti membabitkan individu terbabit di Selangor.

“JAIS tidak berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan perkara yang mendatangkan keraguan sehingga menjadi fitnah kepada Islam keseluruhannya

.“Kami menyeru semua umat Islam di Selangor lebih berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan perkara meragukan seumpama ini,” katanya, lapor Harian Metro.

Mengulas mengenai madrasah yang terpalit dengan kes salah laku membabitkan mudir memukul pelajar, katanya, institusi pendidikan swasta terbabit tidak berdaftar.

“Pegawai melaporkan kepada saya apa berlaku dan apa tindakan diambil pihak berkenaan. Ini termasuk pihak sekolah, pihak berkuasa dan ibu bapa. JAIS difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua pentadbir dan guru sekolah swasta sama ada dalam program pemutihan atau tidak perlu mendidik mengikut cara didikan Islam.

“Pentadbir bertanggungjawab dan berusaha meningkatkan mutu tenaga pengajar dan pelajar. Guru dipastikan terlatih dan faham tujuan mendidik. Ilmu itu penyuluh kegelapan dan mengenai perkataan serta perbuatan guru yang jika tidak diamalkan memakan dirinya dan institusi agama.

“Kesudahan ilmu dalam Islam adalah agar umat Islam dapat melaksanakan tuntutan amar maaruf nahi mungkar. Cegah mungkar perlu dengan cara maaruf.

“JAIS terus tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan,” katanya. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia