Prosiding yang mengambil masa lebih tiga jam itu didengar di hadapan panel Hakim Rayuan Chao Hick Tin dan Andrew Phang serta hakim Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.
Hick Tin dalam penghakimannya berkata peguam bela Jabing mengemukakan hujahan dan kandungan yang sama.
“Tiada isu sebenar dibangkitkan,” kata hakim.
Pelaksanaan hukuman Jabing sepatutnya dijalankan hari ini tetapi peguam belanya berjaya memperoleh penangguhan sementara, pelaksanaan hukuman itu.
Peguamnya, Jeanette Chong-Aruldoss berjaya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan selepas mendapat perintah Mahkamah Tinggi lewat malam tadi.
Chong memfailkan segera saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman tetapi ia ditolak oleh Pesuruhjaya Kehakiman Kannan Ramesh.
Beliau diberi hingga 11 malam Khamis untuk mengemukakan rayuan terhadap penolakan itu, bagi membolehkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.
Jabing hari ini diwakili peguam Alfred Dodwell.
Minggu lepas, keluarga Jabing menerima surat daripada Jabatan Penjara Singapura yang memaklumkan Jabing akan menjalani hukuman gantung, hari ini.
Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China, Cao Ruyin dalam cubaan merompak di Geylang Drive di sini pada 2008.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang rakan senegerinya, Galing anak Kujat. – Bernama