Timbalan Pendakwa Raya Zikri Jaafar memberitahu keputusan jabatan itu ketika kes disebut di hadapan Majistret Husna Dzulkifly, pada Khamis.
Sehubungan itu mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan iaitu pada 10 dan 11 Mei ini.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, yang diwakili peguam Hazman Harun mengemukakan representasi berkenaan pada 18 Mac lepas.
Pada 15 Februari lepas, Awie yang juga bapa kepada lima anak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun, 38, di kaunter PNB Jalan Tun Razak, di sini pada jam 3 petang, 2 Jun 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Majistret Ampang melepas dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang selepas mereka bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Awie. – Bernama