SHAH ALAM: Khairy Jamaluddin menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dan umat Islam yang marah terhadap KK Mart agar menghentikan kecaman mereka terhadap syarikat itu.
Khairy berkata, kemarahan Umat Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah telah disuarakan dengan jelas dan tiada keperluan lagi untuk terus melanjutkannya.
“Pertamanya, bagi orang Islam, kita kena berhenti sekejap. Adakah kita telah melebihi had (Are we going too far)?
“Dan mungkin kita bagi nasihat kepada sahabat kita, Akmal. Anda telah nyatakan pendirian anda. Saya sebenarnya tak salahkan Akmal. (Bersuara) memang tugas dia sebagai ketua pemuda (Umno).
“Tetapi sekarang masanya untuk berhenti. Kita serah kepada pengguna Islam di Malaysia sama ada mereka nak pergi KK Mart atau tidak,” katanya dalam podcast Kelaur Sekejap yang disiarkan hari ini.
Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata Akmal mesti memahami yang berhenti tidak bermaksud menyerah.
Akmal merupakan antara yang paling lantang mengecam KK Mart berikutan kontroversi itu, walaupun KK Mart dan syarikat pembekal stoking tersebut sudah memohon maaf.
Hari ini, cebuah cawangan kedai KK Mart di Bidor, Perak dibaling dengan bom petrol, kira-kira pukul lima pagi tadi.
Namun, menurut laporan China Press, bom petrol itu jatuh di kawasan kosong di depan kedai itu tidak meletup. Cawangan itu juga antara salah satu daripada tiga cawangan di mana stoking tersebut ditemukan.
Akmal mengecam tindakan itu namun kekal berkata boikot perlu diteruskan secara bertenang.
Mengulas lanjut, Khairy menyatakan kebimbangan jika kemarahan terhadap KK Mart berlanjutan, ia akan mempengaruhi naratif kaum yang negatif.
“Ia akan mempengaruhi naratif orang Melayu yang kata orang Cina memang tidak peka terhadap orang Melayu.
“Ia (juga) akan mempengaruhi narataif orang Cina yang orng Melayu apabila ada isu (seumpama) ini sahaja, akan tindas peniaga Cina,” katanya lagi.
‘PM perlu lebih bersuara’
Khairy juga mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara relatifnya membisu berkenaan perkara ini.
Katanya, sebagai orator yang hebat, Anwar sepatutnya mengambil peluang ini untuk menyatupadukan rakyat Malaysia di tengah kontroversi yang memecah-belahkan ini.
“Ini momen kepimpinan yang dia boleh tunjuk kepada semua yang “sayalah pemimpin yang memahami betapa kompleksnya memimpin sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Saya juga orang Melayu-Islam yang tahu sensitiviti (isu ini), namun ini reaksi dan respons yang sesuai selaku orang Islam dan rakyat negara pelbagai kaum’.
“Itu yang saya harap daripadanya (Anwar),” kata Khairy.
Setakat ini, Anwar hanya dilaporkan mengulas kontroversi KK Mart sebanyak dua kali.
Pertama pada 20 Mac lalu, apabila dia berkata siasatan perlu dibuat namun hukuman tidak seharusnya berlebihan.
“Mesti maju terus. Kenapa kita mesti terperangkap dengan isu-isu ini yang berpanjangan? Ada laporan, ambil tindakan,” katanya.
Semalam pula, Anwar menegaskan tiada tolak ansur terhadap perbuatan menghina agama, terutama Islam.
Sementara itu, hos bersama Keluar Sekejap, Shahril Hamdan mempersoalkan mengapa tokoh agama tidak bersuara dalam isu ini.
“Sebenarnya saya nak dengar daripada tokoh-tokoh agama, beritahu saya apakah respons yang betul,” katanya.
Dia membangkitkan bagaimana cendekiawan Islam di Amerika Syarikat, Omar Suleiman pernah menggesa orang Islam agar bertenang dan memberi respons secara berhemah ketika Islam dilihat diserang. –Malaysiakini