Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-49 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di Vientiane.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata semasa AMM ke-49, menteri-menteri luar ASEAN akan membincangkan isu berkaitan Komuniti ASEAN, pelaksanaan Rangka Tindakan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN 2025 serta persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan 29 pada September.
“Menteri-menteri luar juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama seperti perkembangan di Laut China Selatan, keadaan di Semenanjung Korea, keganasan dan ekstremisme, keselamatan maritim dan isu-isu keselamatan yang lain,” katanya.
AMM ke-49 akan didahului dengan beberapa mesyuarat persediaan pada peringkat Pegawai-pegawai Kanan, kata kenyataan itu.
Wisma Putra berkata menteri luar ASEAN juga akan menghadiri Persidangan Pasca Peringkat Menteri (PMC) dengan 10 Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat (AS).
Malaysia kini merupakan negara penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-AS untuk tempoh 2015-2018.
Wisma Putra berkata Anifah dan Setiausaha Negara AS John Kerry akan mempengerusikan bersama ASEAN PMC+1 dengan AS.
Selain daripada AMM ke-49 dan ASEAN PMC+1, menteri luar ASEAN turut menghadiri mesyuarat menteri luar ASEAN campur tiga ke-17 (APT FMM), mesyuarat menteri luar sidang kemuncak Asia Timur ke-6 (EAS FMM) dan forum serantau ASEAN ke-23 (ARF).
Di luar acara mesyuarat tersebut, Anifah akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari ASEAN dan Rakan Dialog untuk membincangkan isu yang menjadi kebimbangan bersama, katanya.
“Pada akhir AMM ke-49 dan mesyuarat berkaitan, menteri luar dijangka akan menerima pakai beberapa dokumen termasuk Kenyataan Bersama AMM ke-49 yang akan mengetengahkan perbincangan dan keputusan yang dibuat semasa mesyuarat,” katanya. – Bernama