Muhyiddin dalam kenyataannya berkata, Najib sudah sepatutnya menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara ke AS dengan segera untuk mendapatkan kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai boleh diambil terhadap mereka yang terbabit.
Katanya lagi, bagi mengatasi masalah itu, Najib juga sepatutnya telah mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.
“Nampak benar semua ini tidak dilakukan oleh Najib. Dia sebaliknya hanya berkata, kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan strategik negara?
“Adakah pembelaan terhadap individu yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya.
Katanya lagi, meskipun kenyataan yang dikeluarkan DOJ hanya kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, namun ia adalah bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan.
“Jika Najib seorang yang beramanah dan bertanggungjawab, apa yang dia sepatutnya kata? Mengejutkan! Ambil serius keputusan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat, hantar delegasi tertinggi kerajaan untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat.
“Tubuh sebuah tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat memalukan negara.
“Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan,” katanya.
Beliau juga sepatutnya telah mengarahkan SPRM dan PDRM membuka semula kertas siasatan terhadap 1MDB.
“Bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya?, tulisnya.- Sinar Harian