Isteri, anak cedera anggota polis terlepas tembakan

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lans koperal berusia 33 tahun itu sedang bertugas namun difahamkan pulang ke rumahnya sebentar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, semasa di rumah, anggota tersebut yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu dikatakan mengeluarkan pistol jenis Walther P99 sambil memaklumkan hendak membunuh diri.

“Isteri anggota itu yang berusia 27 tahun berada di rumah dan menyedari kejadian berkenaan cuba merampas pistol itu bagaimanapun suaminya telah tertembak lantai dalam bilik rumah mereka.

“Akibat tembakan itu, tiles lantai di bilik itu berkecai dan telah terkena isteri, anak perempuan berusia lima tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun,” katanya

Abdul Ghafar berkata, isteri mangsa mengalami kecederaan di tapak kaki kiri manakala dua anak mereka masing-masing cedera di betis kanan dan tapak kaki kiri serta kanan.

Semua mereka menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan dilaporkan stabil, katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menahan anggota polis itu dan merampas senjata api berkenaan.

“Anggota polis itu tidak mempunyai masalah disiplin dan ujian air kencing juga negatif. Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan,” katanya. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia