Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 33, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Saya perlukan privasi,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan menerusi aplikasi Whatsapp, pada Ahad.
Terdahulu, akhbar melaporkan seorang penyanyi yang juga isteri kepada seorang pelakon dan pelawak ditahan disyaki berkhalwat di sebuah apartmen teman lelakinya di Bukit Jalil.
Wanita yang juga penyanyi berusia 28 tahun itu ditangkap berkhalwat oleh Jawi dan ditemui bersembunyi di belakang almari di dalam bilik.
Manakala seorang lelaki berusia 30-an yang juga suami orang berada di ruang tamu selepas pintu dipecahkan Jawi.
Ketika serbuan, penguatkuasa Jawi meminta pintu rumah dibuka sebelum seorang lelaki membuka pintu dan menutupnya semula.
Selepas 30 minit menunggu pintu dibuka dan tiada kerjasama daripada pemilik rumah, pintu terpaksa dipecahkan sebelum pemeriksaan dilakukan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan dan jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM2,000 akan dikenakan atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, rumah tangga Along dan Zila dilaporkan sedang berantakan dan pasangan ini sedang di dalam proses perceraian.
Pasangan selebriti itu berkahwin pada Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Danial, 5. –mStar