KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menuntut pasukan pendudukan Israel segera menarik balik kepungan mereka ke atas hospital Al-Shifa di bandar Gaza.
“WHO dan rakan-rakan telah terputus hubungan dengan petugas kesihatan di hospital Al-Shifa di utara Gaza sejak serbuan berterusan bermula dan kami sedang mendapatkan maklumat mengenai keadaan pesakit, jika mereka menerima rawatan yang diperlukan,” lapor agensi berita Jordan (Petra) yang memetik Ghebreyesus dalam hantarannya di akaun X rasminya.
“Mengakses Al-Shifa kini mustahil dan terdapat laporan mengenai pekerja kesihatan ditangkap dan ditahan,” kata ketua WHO itu.
“Laporan daripada seorang doktor di Hospital Al-Shifa di utara #Gaza melalui rakan sekerja PBB: – 50 pekerja kesihatan (kebanyakan junior atau sukarelawan) dan 143 pesakit semuanya ditempatkan di dalam satu bangunan sejak hari kedua serbuan, dengan makanan dan air yang sangat terhad serta hanya satu tandas yang tidak berfungsi,” kata Ghebreyesus.
Beliau berkata pesakit dalam keadaan kritikal yang ramai terbaring di atas lantai dan ramai yang tidak mempunyai peneman, bekalan perubatan asas dan ubat-ubatan.
“Pekerja kesihatan telah meminta rujukan pesakit segera. Keadaan ini sama sekali tidak berperikemanusiaan. Kami menyeru agar pengepungan dihentikan serta-merta dan merayu akses selamat untuk memastikan pesakit mendapat penjagaan yang mereka perlukan. Gencatan senjata!,” kata Ghebreyesus.– BERNAMA