Ismail Sabri: Dr M perlu hormati hasil siasatan PAC

Menteri Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Tun Dr Mahathir seharusnya menerima dan menghormati keputusan PAC.

“…dalam kes ini, PAC dah buat keputusan jadi, Tun perlu hormat kepada keputusan PAC… semua rakyat Malaysia juga perlu hormat kepada keputusan PAC,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Ekonomi Desa Lestari Abad Ke-21 di Kampung Tok Dor di Hulu Terengganu hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang juga anggota Parlimen Hulu Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib yang juga ADUN Ajil.

PAC, yang dianggotai anggota Parlimen BN dan pembangkang, mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu pada hari Khamis.

PAC antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Tun Dr Mahathir dalam satu forum tertutup di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dua hari lepas berkata beliau sedih kerana PAC meletakkan tanggungjawab berhubung kelemahan 1MDB kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Shahrol Azral.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata dari segi rasionalisasi, iMDB mampu membayar kesemua hutangnya dan sepatutnya tidak timbul lagi isu 1MDB mempunyai hutang melebihi RM50 bilion.

“PAC juga memutuskan dan membentangkan laporannya di Parlimen bahawa tidak ada perkara yang melibatkan unsur jenayah berlaku dalam pengurusan 1MDB,” katanya. – Bernama

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri