Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kecanggihan teknologi masa kini dengan kecanggihan telekomunikasi memudahkan lagi kumpulan berkenaan menjalankan peranan mereka.
“Mereka menggunakan teknologi terutama teknologi telekomunikasi dan teknologi maklumat sebagai medium untuk mereka menyebarkan fahaman sehingga sesiapa pun boleh jatuh hati dengan kumpulan ini. Mulanya mereka menggunakan kenyakinan agama, kemudian organisasi dan akhir sekali menggunakan perasaan.
“Misalnya seorang lelaki, mereka menggunakan ayat-ayat manis ‘kalau awak sayang saya, awak ingin bersama saya, awak lakukan ini. Ambil barang ini dan hantarkan ke tempat tertentu’, jadi wanita ini terpengaruh lalu mengambil sebuah beg misalnya dan dia pun tidak tahu apa isi kandungnya.
“Lalu dia pun letak di lokasi tertentu umpamanya. Pada malamnya, kita dengar tempat tersebut sudah meletup sebab semua bahan ini boleh dikawal secara jarak jauh. Itu yang kita khuatir, bahkan saya yakin pihak keselamatan pun menyatakan kebimbangan sama perkara ini boleh berlaku di mana-mana,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan negeri anjuran Polis Diraja Malaysia Kontinjen Melaka di Seri Negeri Ayer Keroh, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din.
Idris turut melahirkan kebimbangan terhadap ancaman kumpulan IS kerana kumpulan tersebut bergerak tanpa struktur yang jelas.
“Yang mengerikan, kumpulan ini tidak mempunyai struktur jelas. Jadi setiap perkara yang berlaku masing-masing menuntut mereka dari kumpulan yang sama.
“Bila mereka tidak mempunyai organisasi yang jelas, kita tiada ruang untuk menyerang balas dan membentuk mekanisme pertahanan kita dengan tepat kerana dia boleh datang dari pelbagai sudut,” katanya.
Sementara itu, Ramli turut mengingatkan masyarakat supaya jangan mudah menyebarkan sebarang maklumat belum sahih.
“Jika ada pihak yang suka menyebarkan maklumat ini di media sosial dan ini akan viral begitu cepat sehingga membangkitkan kebimbangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, berhubung penyebaran WhatsApp kononnya beberapa lokasi pelancongan di negeri ini menjadi sasaran IS, Ramli berkata, polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung perkara tersebut.- Sinar Harian