“Dakwaan sembrono ini merupakan muslihat mencari publisiti tanpa asas. Percubaan membunuh perwatakan akan hanya mencetuskan tindak balas dan melemahkan kerajaan pada jangka panjang,” katanya kepada Bernama.
Abdul Gani selanjutnya menegaskan beliau sentiasa bertindak profesional dalam menjalankan tugas dan akan terus bertindak sedemikian dalam setiap usaha masa hadapannya.
Beliau menyatakan demikian menerusi whatsapp’nya bila diminta mengulas mengenai laporan bahawa naib ketua pemuda Umno, Khairul Azwan Harun telah membuat laporan polis terhadap beliau; bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz; dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Dalam laporan itu, Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga mereka dipercayai terlibat dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.
Pada 27 Julai, 2015, perkhidmatan Abdul Gani selaku Peguam Negara ditamatkan atas sebab-sebab kesihatan.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara baharu, berkuatkuasa 27 Julai tahun lepas. – Bernama