Beliau berkata, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dilantik atas persetujuan semua pihak dan PAS Perak mengalu-alukan pelantikan itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kemenangan menjadi milik mereka.
“Kita sudah bersiap sedia dari segi kekuatan mental, fizikal dan rohani. Insya Allah, segala-galanya akan berjalan dengan baik.
“PAS akan mengadakan mesyuarat pada bila-bila masa dalam tempoh terdekat bagi membincangkan gerak kerja jentera dan sebagainya sebagai usaha memenangi PRK kali ini,” katanya, pada Ahad.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, pihaknya sudah bersedia menghadapi PRK itu dengan semua perancangan sudah diatur dengan baik dan hanya menunggu arahan daripada PAS Pusat bagi pergerakan seterusnya.
“Apa-apa pun kita tunggu arahan dari pimpinan. Sesiapa pun calon kita akan akur dan akan terus bekerja demi memenangkan PAS di Kuala Kangsar,” katanya.