KUALA LUMPUR: Keluarga seorang lelaki yang menjadi mangsa penipuan pemerdagangan manusia di luar negara merayu bantuan kerajaan membawanya pulang.
Wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama pertamanya Shirley, berkata anak lelakinya berusia 29 tahun menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Thailand dan dibawa secara paksa ke Myanmar.
“Dua tahun lalu, anak saya ternampak iklan di Facebook mengenai pekerjaan dalam perisian komputer. Dia memberitahu kami hendak ke Bangkok, dengan syarikat itu menyediakan tiket penerbangan.
“Setibanya di lapangan terbang Bangkok, dua lelaki menahannya dengan mengacukan pistol dan membawanya secara paksa ke Myanmar, merampas semua dokumen dan telefonnya,” katanya dalam sidang media anjuran PKR Segambut hari ini.
Beliau berkata, anaknya menghubunginya pada 15 Feb lalu memaklumkan diperdagangkan ke Kemboja di mana dia berdepan keradaan teruk.
“Anak saya memberitahu dia tidak gosok gigi selama setahun dan hidup dalam keadaan tidak baik, termasuk kekurangan katil yang sesuai.
“Dia juga beritahu dipaksa bekerja sebagai pekerja penipuan di Kemboja dan jika gagal mencapai sasaran ditetapkan, dia tidak diberikan makanan
.”Shirley berkata, beliau sedang menunggu perkembangan terkini daripada polis selepas membuat laporan pada 21 Feb lalu.
Seorang lagi ibu, Tan Kim Huat berdepan pengalaman sama kerana anak lelakinya, Fu Kai Man, hilang dua tahun lalu ketika bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan di sebuah kasino di Filipina.
Wanita itu berkata, anaknya ternampak tawaran pekerjaan menerusi Facebook tujuh tahun lalu dan kerap pulang ke Malaysia pada mulanya.“Dua tahun lalu, dia hilang dan tidak ditemui.
Saya minta kawannya di sana untuk mencarinya, tetapi mereka tidak menjumpainya,” katanya yang membuat laporan polis pada 2 Julai 2022 dan tiada sebarang perkembangan sehingga kini.
Timbalan Ketua PKR Segambut, Deric Teh berharap kerajaan, khasnya Kementerian Luar akan menyiasat kes itu.
“PKR bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) akan berusaha membawa anak Shirley pulang.
“Bagi kes Tan pula, kami berharap anaknya dapat membaca laporan berita dan menghubungi ibunya.
”Pegawai Perhubungan Awam MHO, Daniel Khoo mengingatkan anak muda tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan dalam talian.
“Pergi ke Kementerian Luar semak latar belakang syarikat itu serta minta mereka beri anda permit kerja.”