i-Peguam sokong tindakan JAWI banteras ‘mak nyah’

Pengerusinya, Mohd Lutfi Abdul Khalid berkata, tindakan JAWI menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah demi kepentingan Islam dan umatnya.

“Penganjuran majlis ‘mak nyah’ di sebuah hotel mewah memberi isyarat bahawa kumpulan LGBT semakin berani mencabar dan memprovok sensitiviti orang Islam dan undang-undang negara ini.

“Justeru, i-Peguam mengingatkan mana-mana pihak yang ingin memberi gambaran negatif terhadap terhadap langkah-langkah pencegahan amalan dan budaya LGBT daripada menular di kalangan umat Islam supaya sedar bahawa percubaan mereka akan gagal.

“Ia juga adalah langkah yang bertepatan dengan Syara’ dan perlu disokong oleh seluruh umat Islam,” katanya yang dipetik dari laman portal ismaweb.net.

Pada Ahad lepas, sekumpulan pegawai JAWI telah menyerbu satu majlis yang dihadiri mak nyah di sebuah hotel di ibu negara.

Bagaimanapun, seorang peguam dan juga aktivis, Siti Zabedah Kasim yang turut berada dalam majlis berkenaan telah menyelar tindakan JAWI sekaligus mahu mengambil tindakan undang-undang ekoran serbuan yang dilakukan oleh penguatkuasa agama itu tidak mempunyai waran.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Luttfi berkata, tindakan peguam terbabit yang mahu menyaman pihak JAWI membuktikan bahawa golongan ini tidak serik untuk terus mencabar kewibawaan dan keluhuran agama Islam.

“i-Peguam ingin bertanya sama ada terdapat dalang di sebalik penganjuran majlis berkenaan di sebuah hotel di ibu negara yang di dalamnya terdapat aktiviti melanggar peruntukan undang-undang Syariah?

“Ia juga seolah-olah membuktikan bahawa terdapat satu agenda pembaratan yang lebih agresif untuk mengangkat isu LGBT ke perhatian pembuat dasar dan polisi negara.

“Atau menjadikan isu LGBT sebagai salah satu agenda tetap dalam sebarang rundingan yang melibatkan hak-hak asasi golongan minoriti atau isu-isu hak dan kebebasan bersuara dalam negara,” katanya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia