Husam akan hadir di majlis Amanah, umumkan parti pilihannya

Perkara ini dijangkakan selepas Husam memuat naik satu kenyataan di laman Facebooknya semalam selepas empat bulan beliau dipecat dari PAS.

Meskipun tidak menyebutkan beliau akan menyertai AMANAH, namun corak kenyataannya itu dapat dibaca dengan jelas memandangkan parti ‘jingga’ itu adalah pilihan yang paling dekat dan relevan untuk beliau sertai.

“Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian. Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula.

“Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti.

“Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya dan mengumumkan parti baru pilihan saya,” katanya memetik kenyataan beliau di Facebook itu.

Husam yang sebelum ini merupakan Naib Presiden PAS dipecat selepas beliau dilihat tidak berpihak kepada parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Beliau dipecat pada 6 Mei lalu dan mendakwa pemecatannya itu tidak disemak semula oleh PAS.

“Saya menikmati tempoh bertenang. Sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka. Terburu-buru adalah dari syaitan, kata Nabi s.a.w. Memerhatikan apa yang berlaku. Merenung dan mencari petanda-petanda pedoman.

“Nyata, negara menuju keadaan yang lebih kritikal dari sebelumnya. Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990.

“Wadah yang saya harapkan dulu, se akan telah ‘terjual’. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar relevansi, pelabelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang lebih luas meliputi,” tambahnya.

Husam dijadualkan hadir di Majlis makan malam Ambang Merdeka di sebuah restoran di Cyberjaya malam ini.

Beliau dijangkakan akan mengumumkan penyertaannya dengan parti baru di dalam majlis tersebut.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri