Ini kerana hujan pada kira-kira jam 4.30 petang pada waktu tempatan itu dialami selepas kali terakhir ia menyirami kota suci ini pada Ramadan lalu.
“Alhamdulillah kurang panas sikit,” kata seorang jemaah haji Malaysia, Abdullah Ahmad, 52.
Suhu di sini lazimnya mencecah antara 40 hingga 43 darjah Celsius dan dengan penurunan suhu akibat hujan, ramai daripada jemaah berkira-kira untuk menunaikan umrah pada Ahad.
Bagi Ramlah Abdul, 63, beliau mahu menunaikan umrah malam ini berikutan cuaca yang agak redup dan tidak panas seperti kelaziman.
“Ini peluang terbaik mak cik dan yang lain untuk melakukan umrah sebab hujan jadi cuaca redup dan mudah-mudahan tidak panas,” katanya.
Menurut seorang penduduk tempatan, Abu Razif, 40-an, kali terakhir hujan di sini adalah pada Ramadan lalu, sambil beliau berulang-kali mengucapkan Alhamdulillah.
Sementara itu, jumlah jemaah haji Malaysia yang tiba di tanah suci sehingga hari ini adalah seramai 15,685 orang.
Jumlah itu membabitkan seramai 15,607 jemaah di sini manakala 78 jemaah lagi di Madinah. – Bernama