Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell berkata United Kingdom (UK) adalah sebuah negara yang memandang ke hadapan yang akan lebih melibatkan diri secara global berdasarkan peluang-peluang yang terbuka sebaik ia menarik diri dari EU.
“Bagi rakan-rakan dan rakan kongsi di Malaysia, saya ingin memberi jaminan bahawa Britain yang bersifat Global akan berusaha untuk membina hubungan bersejarah kita serta memperkukuh dan memperluaskan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang,” kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau membuat komen itu susulan ucapan “Brexit” oleh Perdana Menteri Britain Theresa May di London apabila berkata Britain keluar dari pasaran tunggal EU ketika beliau menggariskan strategi bagi meninggalkan EU.
Treadell berkata, sejak pungutan suara EU yang bersejarah pada Jun 2016, terdapat dua lawatan Diraja Britain dan tiga lawatan peringkat menteri UK ke Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menemui Perdana Menteri Britain itu di New York semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tahun lepas, dan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Dalam Negeri UK, Amber Rudd apabila beliau berada di London.
“Pada tahun akan datang dan selepas itu, anda akan melihat tahap keterlibatan ini berterusan,” kata Treadell.
Pesuruhjaya Tinggi itu berkata, perkongsian ekonomi digital Britain dengan Malaysia bakal berkembang dan beberapa inisiatif baharu diperkenalkan.
“Memandangkan Britain akan menjadi hos Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) akan datang pada 2018 dan Malaysia pula selepas itu, kita mempunyai peluang yang unik untuk bekerjasama dalam kedua-dua CHOGM mengenai isu-isu seperti perdagangan, memerangi ekstremisme dan membantu negara-negara Komanwel yang baru muncul ke arah matlamat pembangunan mereka.
“Kita akan bekerjasama dengan Malaysia mengenai isu keselamatan dan pertahanan dan kita akan membangunkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan ke arah mencapai Perjanjian Perdagangan Bebas apabila tiba masa yang sesuai untuk kita berbuat demikian,” kata Treadell.
Beliau berkata, Britain juga akan berusaha supaya keterlibatannya juga merangkumi masyarakat Malaysia. – Bernama