Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu adalah antara penambahbaikan kawalan keselamatan serta merta kepada hospital terbabit susulan berlaku kejadian penculikan seorang bayi daripada hospital itu Selasa lepas.
Beliau berkata selain memastikan Garis Panduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di hospital Kementerian Kesihatan dipatuhi sepenuhnya, hospital itu juga diminta melaksanakan penggunaan kad menunggu untuk ibu yang datang bagi menyusukan anak mereka selepas kelahiran bayi mereka.
“Selain penggunaan kad pengenalan ibu untuk membawa keluar bayi mereka, dan jika ibu tidak hadir bersama, bapa atau waris bayi berkenaan perlu membawa bersama kad pengenalan ibu berserta surat nikah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata selain itu, rekod untuk bayi keluar mesti disenaraikan dalam dua salinan, satu salinan untuk jururawat dan satu salinan diserahkan kepada pengawal keselamatan dan ditandatangani oleh ibu bapa semasa bayi dibawa keluar.
Dr Noor Hisham mengulas mengenai kejadian seorang bayi perempuan berusia lima hari yang dibawa keluar dari Wad Kanak-kanak hospital terbabit oleh pasangan suami isteri yang mengaku mereka sebagai anggota keluarganya.
Pihak polis menemukan semula bayi tersebut dan menahan pasangan terbabit.
Beliau berkata siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan hospital itu mendapati proses discaj tidak dipatuhi sepenuhnya semasa bayi tersebut dibenarkan pulang, dan staf serta pengawal keselamatan bertugas tidak mengambil langkah sepenuhnya untuk mengenal pasti identiti pasangan terbabit.
“Perkara tersebut juga tidak bertepatan dengan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil1/2007: Garis Panduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
“Pihak hospital perlu memastikan mana-mana ibu dan bayinya yang baru lahir diberikan pengenalan diri melalui tag nama atau apa-apa peranti lain (rantai) ) yang sesuai yang mengandungi maklumat termasuk nama penuh ibu serta tarikh lahir dan jantina bayi berkenaan,” katanya.
“Tanda pengenalan diri ini perlu disemak terutamanya semasa apa-apa pengendalian bayi dan sebelum meninggalkan bilik bersalin dan/atau wad,” kata Dr Noor Hisham.
Katanya Kementerian Kesihatan memandang serius insiden terpencil di hospital itu dan berpendapat ia tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital sama ada hospital kerajaan atau swasta.
Kementerian itu juga telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 1/2007: Garispanduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia pada September 2007, sebagai panduan untuk sistem kawalan keselamatan bayi di hospital-hospital kerajaan.
Beliau berkata kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut.–Bernama