Himpunan Tiada Provokasi – Bersih

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengesahkan Polis Diraja Malaysia tidak memaklumkan sama ada himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen esok diluluskan atau tidak.

Wakil Bersih, Asraf Sharafi Mohd Azhar berkata, pihaknya tidak memberi apa-apa keputusan berhubung notis pemakluman yang diserahkan kepada pihak polis hari ini.

“Polis tak ada cakap lulus atau tidak tadi. Cuma persetujuan dicapai untuk penganjur menjaga peserta dan mengelak provokasi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Awal hari ini, Bersih yang diwakili pengerusi badan pemantau pilihan raya itu, Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Asraf Sharafi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi menyerahkan pemakluman mengenai penganjuran himpunan yang akan diadakan esok di bangunan Parlimen.

Serahan notis berkenaan sebagai jawapan kepada kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid yang berkata, pihaknya tidak menerima sebarang pemberitahuan berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus esok.

Malah Allaudeen berkata, mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, notis pemberitahuan perlu diserahkan sekurang-kurangnya lima hari daripada tarikh berhimpun.

Terdahulu Bersih merancang mengadakan himpunan itu esok dan menyerahkan memorandum bagi mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi 100 peratus.

Antara permintaan mereka menggesa kerajaan menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.

Kedua, menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri, yang merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Satu lagi perkara berkaitan Akta Hasutan, selaras dengan janji pilihan raya PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia