Himpunan besar Rohingya 4 Disember ini

Beliau berkata perhimpunan akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemimpin lain seperti Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad Zahid menggesa pemimpin parti lain seperti PKR dan Amanah supaya menyertai perhimpunan itu yang lokasinya akan ditetapkan kelak.

“Kita ketepikan perbezaan politik dan sebagai umat Islam kita berkumpul bersama-sama bagi menzahirkan rasa keprihatinan terhadap saudara Islam kita di Myanmar,” katanya.

Beliau berucap merasmikan majlis Malam Jalinan Kasih Suluh Budiman anjuran Persatuan Alumni Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata dalam isu Rohingya, Malaysia telah melakukan tindakan melebihi negara lain termasuk memberi anak-anak etnik Rohingya yang lahir di negara ini rekod kelahiran supaya mereka boleh menjalankan kegiatan menimba ilmu mengikut keperluan mereka.

“Tidak memperkecilkan negara lain, kita telah perlihatkan keprihatinan yang mendalam terhadap isu Rohingya ini kerana sebagai umat Islam kita akan rasa seperti cubit peha kiri peha kanan (turut) terasa, apatah lagi jika mereka ditimpa kesusahan,” katanya.

Beliau menggesa masyarakat Malaysia menyumbang kepada tabung bagi membantu masyarakat Rohingya yang dianiaya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Myanmar bagi menuntut keprihatinannya berhubung dakwaan penindasan terhadap masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine.

“Menurut piagam yang ada memang kita tidak boleh mencampuri urusan dalaman negara lain, tetapi kita mahu beritahu bahawa rakyat Malaysia mahu kerajaan Myanmar mengambil langkah prihatin terhadap rakyat Rohingya di Myanmar,” katanya.

Mengenai desakan penarikan semula Hadiah Nobel Keamanan kepada ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, Ahmad Zahid berkata, ia akan dibincangkan dalam pertemuan 4 Disember ini.

“Jika seseorang yang dianugerah hadiah itu tidak lagi boleh mengekalkan keamanan, ia (pemberian) masih boleh dipertikaikan,” kata beliau. –Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia