KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo mengakui dia ada menerima beberapa tawaran sebagai penyampai di stesen radio lain. Menurut jejaka berusia 47 tahun ini dia kini masih dalam pertimbangan untuk membuat pilihan terbaik.
“Benar memang ada beberapa stesen radio yang berminat untuk bekerjasama dengan saya.
“Cuma saya masih belum ada kata putus kerana saya ingin adakan perbincangan lebih lanjut disebabkan kontrak saya bersama Suria hanya akan tamat pada bulan Mac nanti.
“Alhamdulillah mereka melihat kerja dan bakat saya. Bukan atas kapasiti peribadi. Mereka merasakan saya masih lagi relevan untuk bekerja di dalam industri penyiaran radio.
“Insya Allah dalam bulan Mac nanti saya akan pastikan suara saya kembali berkumandang di corong radio di salah sebuah stesen di Malaysia,” katanya.
Ditanya tentang keadaannya selepas hampir sebulan meninggalkan konti Suria FM, kata Tyzo dia kini berasa lebih tenang.
“Saya rasa sangat tenang sekarang ini kerana saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat. Saya rasa saya bebas. Seronok juga rasa bila bebas sebab sudah hampir 20 tahun saya bekerja di bawah orang,” kongsinya.
Baru-baru ini juga Tyzo sempat bersiaran secara langsung di Tik Tok dan telah mendapat sambutan hangat daripada netizen. Sesi ‘live’ tersebut telah mendapat 3.4 juta tanda suka dan disaksikan lebih 130,000 penonton.
“Alhamdulillah, sejujurnya saya sangat tidak sangka akan mendapat sambutan sehebat ini. Apa yang saya lalukan ini boleh dikatakan sebagai radio podcast Tyzo FM.
“Saya hanya lakukan untuk suka-suka sahaja. Tetapi tak sangka ramai yang buat panggilan. Malah ada pihak yang ingin menaja siaran tersebut.
“Saya harap perkara ini berterusan kerana saya sangat cintakan bidang penyampaian radio,” kongsinya.
Selain radio, Tyzo juga dilamar oleh sebuah stesen televisyen untuk menjadi pengacara bagi sebuah rancangan 13 episod tidak lama lagi.
Terdahulu pada Januari lalu, nama Tyzo menjadi sebutan ramai selepas kontraknya bersama radio Suria FM ditamatkan lebih awal. Menurut Tyzo, kontraknya tidak lagi disambung selepas dia meminta kenaikan gaji sebanyak RM500. – Getaran