Hentikan penggunaan Samsung Galaxy Note7 – CPSC

Amaran itu dikeluarkan hari ini susulan beberapa laporan mengenai bateri jenis lithium-ion yang digunakan dalam perisian Note7 menyebabkannya terbakar.

“Apabila baterinya terlampau panas dan meledak, ia boleh mendatangkan bahaya,” kata CPSC dalam satu kenyataan.

“Beberapa kejadian sudah berlaku ketika telefon dicas dan ketika penggunaan biasa, yang membawa kepada tindakan kita supaya semua pengguna menutup terus Note7 masing-masing,” kata CPSC.

Agensi itu berkata, pihaknya sedang mendapatkan kerjasama Samsung untuk membuat pengumuman rasmi memanggil balik produk berkenaan.

“CPSC ketika ini sedang memastikan sama ada penggantian Galaxy Note7 dibuat oleh Samsung atau syarikat telekomunikasi berkaitan kepada pelanggannya,” katanya.

Khamis lalu, Pihak Berkuasa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memberi amaran agar penumpang tidak meletakkan telefon pintar Note7 mereka dalam beg masuk atau menutup telefon atau tidak mengecasnya ketika di dalam pesawat.

Pada hari yang sama, Samsung dan pegawai bomba berkata, mereka akan melancarkan siasatan selepas satu keluarga di Florida berkata Galaxy Note7 mereka meletup di dalam kenderaan pacuan empat roda mereka ketika sambutan Hari Buruh, menyebabkan kenderaan mereka terbakar dan musnah.

Keluarga itu mendakwa telefon berkenaan ditinggalkan untuk dicas dengan enjin kenderaan masih hidup.

Pada 2 September lalu sebelum kejadian di Florida, Samsung berkata pihaknya menggantung semua penjualan dan memanggil balik Galaxy Note7.

Tindakan itu dibuat selepas Samsung menerima beberapa laporan bahawa telefon berkenaan meletup ketika dicas.

Minggu lalu, syarikat teknologi gergasi itu berkata, terdapat 35 aduan berhubung kerosakan bateri telefon berkenaan dan syarikat akan membuat gantian kepada pengguna yang sudah membelinya.

Turut dilaporkan, penjualan telefon pintar itu akan digantung di 10 negara termasuk AS. – Agensi

Related posts

Masalah bateri punca Galaxy Note 7 terbakar – Samsung

Tisu tandas untuk telefon pintar di Jepun

Pembeli Note 7 saman Samsung