Helikopter malang guna laluan selamat, kata menteri

Liow berkata, lokasi itu tidak diisytiharkan ‘Zon Larangan Terbang’ kerana kawasan itu adalah rata dengan banyak helikopter menggunakan laluan itu pada masa yang sama ketika kejadian malang itu.

“Kami dimaklumkan pada waktu itu cuaca tidak begitu baik dicatatkan tetapi bukan cuaca buruk kerana pada ketika itu banyak helikopter melalui kawasan itu,” katanya di Kuching, pada Jumaat.

Beliau berkata, status ‘Zon Larangan Terbang’ pada suatu masa sebelum ini sememang dikuatkuasakan di kawasan berbukit dan berbahaya di pedalaman Sarawak tetapi teknologi penerbangan telah membolehkan status itu diubah.

“Tetapi memandangkan teknologi sekarang dan maklumat kita dapat, kita boleh memaklumkan kepada juruterbang mengenai risiko pada laluan tertentu. Jadi juruterbang mempunyai peluang memahami sesuatu laluan bagi membuat pertimbangan sewajarnya terutama mengenai keadaan cuaca,” katanya.

Liow berkata, pasukan penyiasat juga akan mencari punca kemalangan itu dan kementeriannya turut membuka dua pusat operasi di Putrajaya dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi membolehkan waris mangsa mendapatkan maklumat dari masa ke semasa mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pusat operasi itu boleh dihubungi melalui talian 03-88921488 atau 03-88921489 (Putrajaya) dan 082-451702 (Kuching).

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terbunuh dalam insiden tersebut manakala lima lagi mangsa belum ditemui pasukan SAR.

Mereka adalah suami Noriah, Asmuni Abdullah, ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ahli Parlimen Kula Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Helikopter itu berlepas dari Betong ke Kuching pada jam 4.12 petang dan terputus hubungan dengan menara kawalan tiga minit kemudian. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia