Anak kelahiran Labuan yang kini menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bukan sahaja menggondol anugerah Penyerang Terbaik namun turut dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai pada malam penuh berprestij itu.
Pemain berusia 25 tahun itu muncul sebagai pemain The Red Giants paling menyerlah pada musim ini dengan meledak tujuh gol selain mencatat persembahan memberangsangkan ketika menggalas tugas selaku penyerang nombor satu skuad Harimau Malaysia.
Bagaimanapun, pasukan Harimau Selatan sekali lagi mendominasi anugerah selepas merangkul enam anugerah daripada 25 pencalonan menerusi Safiq Rahim selaku Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak Import Liga Super yang dianugerahkan kepada pemain Argentina, Jorge Pereyra Diaz.
Malah, kejayaan mereka menamatkan saingan Liga Super tanpa kalah sekali gus melengkapkan hatrik Liga Super dan meraih kejayaan berganda dengan memenangi Piala FA membolehkan mereka dinobatkan selaku Pasukan Bola Sepak Terbaik.
Sementara itu, juara Piala Malaysia, Kedah turut boleh mendabik dada selepas jurulatihnya, Tan Cheng Hoe dipilih selaku Jurulatih Terbaik dan pemain terbaik final Piala Malaysia, Rizal Ghazali merangkul gelaran individu keduanya apabila muncul selaku Pertahanan Terbaik.
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat kembali meletakkan dirinya selaku penjaga gol nombor satu negara dengan anugerah Penjaga Gol Terbaik sementara seorang lagi bintang baharu JDT, Safawi Rasid yang sebelum ini beraksi bersama T-Team dinobatkan selaku Pemain Muda Terbaik.
Bagi anugerah lain, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super menjadi milik pemain Perak, Fazrul Hazli Abd Kadir sementara pemain Kuantan FA, Abd Malik Mat Ariff menggungguli kategori Liga Perdana.
Seperti diduga, penggempur Melaka, Ilija Spasojevic menerima anugerah Penjaring Terbanyak Import Liga Perdana dengan pasukan terbabit turut merangkul anugerah Penyokong Terbaik.
Senarai Pemenang :-
Pemain Paling Bernilai: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)
Penyerang Terbaik: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor);
Pemain Tengah Terbaik: Safiq Rahim (JDT)
Pertahanan Terbaik: Rizal Ghazali (Kedah)
Penjaga Gol Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
Pemain Import Terbaik: Jorge Pereyra Diaz (JDT)
Pemain Muda Terbaik: Safawi Rasid (T-Team)
Jurulatih Terbaik: Tan Cheng Hoe (Kedah)
Penjaring terbanyak tempatan Liga Super: Fazrul Hazli Abd Kadir (Perak)
Penjaring terbanyak import Liga Super: Jorge Pereyra Diaz (JDT)
Penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana: Abd Malik Mat Ariff (Kuantan FA)
Penjaring terbanyak import Liga Perdana: Ilija Spasojevic (Melaka)
Anugerah Fair Play: Negeri Sembilan
Kelab Penyokong Terbaik: Melaka Pasukan Bola Sepak Terbaik: JDT
Laman web terbaik: JDT Laman sosial terbaik: JDT