Menurutnya, ahli UMNO perlu membulatkan tekad dan melaungkan sokongan kepada pucuk pimpinan kerana ia adalah azimat yang dipegang dalam parti selama ini.
“Kita hendaklah sentiasa menyatakan sokongan tidak berbelah bagi, sebulat suara kerana itulah hasil didikan kita. Saya masih ingat lagi, saya diajar untuk taat kepada pemimpin dan itulah kita pegang hingga hari ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Shah Alam, di Bangunan UMNO Bahagian Shah Alam, pada Sabtu.
Katanya, ahli UMNO mesti berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan perlu memberi ruang serta kepercayaaan kepada kepimpinan.
“Kita mesti percaya kepada hikmah pemimpin-pemimpin kita, tidak ada permasalahan yang tidak dapat diselesaikan kerana UMNO adalah parti keramat,” katanya.
Rosnah berkata, hati ahli UMNO cukup terluka apabila melihat bahawa tuduhan terhadap pemimpin dimainkan orang yang begitu dekat dengan parti.
“Kita pernah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada individu itu dan beliau pernah juga menasihatkan kita supaya kekal setia serta taat kepada pemimpin.
“Tetapi bila beliau melepaskan bermacam-macam tuduhan kepada pemimpin tertinggi parti, pastinya hati kita terluka,” katanya. – Sinar Harian