Hashim sedia galas tanggungjawab

Hashim, 77, yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Perlis, berkata tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan baik terutamanya bagi membantu Majlis Syura sama ada dalam soal kepartian atau hukum syarak.

“Saya akan cuba buat semampu mungkin. Sebenarnya saya masih terkejut dengan pelantikan semalam kerana saya sendiri hadir dalam mesyuarat itu dan tidak menjangka akan dilantik.

“Bagi saya, semua dalam Majlis Syura layak menjadi Mursyidul Am kerana masing-masing mempunyai pengalaman dan tanggungjawab berat selama ini. Dengan jaminan ahli Majlis Syura, kami akan bersedia membantu satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Majlis Syura Ulamak PAS menerusi mesyuarat yang diadakan di Pejabat Agung PAS semalam sebulat suara memilih dan melantik Hashim sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Allahyarham Haron meninggal dunia bulan lepas kerana komplikasi jantung di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat.

Hashim merupakan antara pemimpin PAS paling kanan dan mempunyai kelulusan Ijazah Pertama Sastera Arab dan Perundangan Islam dari Universiti Baghdad Iraq selain pernah menjadi Anggota Parlimen Arau (1998), Adun Sanglang (1999 hingga 2004) dan Pesuruhjaya PAS Perlis (2009 hingga 2013). – Bernama

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri