Harith yang dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut, memuat naik gambar menerusi akaun Instagram miliknya, pada Isnin.
Beliau mengimbas kembali bagaimana penduduk di Johor menerima kedatangan ibunya yang tiba di Malaysia buat pertama kali.
“Arwah ibu saya tiba di Malaysia dari England pada tahun 1962 dan menetap di Johor Baru. Penduduk di sana sangat membantu dan menerima kehadirannya, dia berpeluang menyambut Hari Raya pertamanya di Muar,” katanya.
Harith berkata, walaupun membesar di Kuala Lumpur, asal usulnya tidak akan dilupakan.
Beliau juga memuat naik gambarnya sedang memegang trofi dan memakai baju ‘hoodie’ berwarna biru gelap, dihiasi bendera Johor.
Tambahnya, pakaian yang dipakai beliau itu adalah hadiah pemberian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan telah memberi ‘kehangatan’ buat dirinya di Helsinki.
Selain itu, beliau juga tidak sabar untuk menikmati laksa Johor di gerai kegemarannya, setibanya di Malaysia nanti.
Harith yang telah berada dalam industri ini lebih dari 25 tahun, mengalahkan 88 pelawak dari seluruh dunia yang menyertai pertandingan ini.
Peserta perlu melalui pelbagai peringkat sebelum dipilih sebagai finalis menerusi undian dalam talian.
Pelawak ini berjaya mengalahkan empat peserta lain yang turut layak ke peringkat akhir iaitu Alex Calleja dari Filipina, Katerina Vrana (Greece), Mino Van Nassau (India) dan David Kilimnick (Israel).
Kemenangan itu melayakkan Harith membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM444,845).