Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, prihatin dengan dakwaan pembangkang pihaknya terpaksa membuat tinjauan harga di beberapa negara berdekatan termasuk di Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura.
“Pada musim perayaan baru-baru ini harga ayam di Kelantan meningkat mendadak dan dikenalpasti berpunca daripada beberapa masalah termasuk ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan segera, namun perkara ini dapat diselesaikan PPDNKK Kelantan dalam masa dua hari sahaja.
“Berbanding luar negara, harga ayam di Indonesia, Filipina dan Thailand secara purata RM15 sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pengkalan Chepa, di Bahagian Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu pada Jumaat.
Hamzah berkata, rakyat harus sedar pengguna itu terdiri dalam kalangan mereka yang berniaga, malah peniaga juga ada yang menjadi pengguna, jadi mereka dinasihatkan berlaku adil untuk keselesaan bersama.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kementeriannya akan mencari kaedah baru terhadap Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan untuk membolehkan peniaga negara ini tidak sewenang-wenangnya menaikan harga barangan di luar musim perayaan.
Katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak persatuan pemborong, peniaga , peruncit dan pengguna bagi membincangkan kaedah baru supaya semua pihak selesa dengan kepentingan masing-masing.
“Saya akan bawa hasil perjumpaan dengan pihak berkenaan untuk dibincangkan dalam kabinet sebelum membuat keputusan dan membaharui kandungan akta itu sebelum akhir Disember ini,” katanya. – Sinar Harian