Kuala Lumpur: Harapandaily menarik balik laporan bersifat fitnah mengaitkan titah Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah merujuk satu parti politik.Portal itu juga memohon maaf di atas kekhilafan muat naik laporan tersebut.
“Harapandaily mengambil maklum di atas teguran Sultan Abdullah terhadap berita yang kami siarkan.
“Kami dengan ini memohon ampun dan maaf di atas kekhilafan itu dan menarik balik berita bertajuk ‘Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS’ dan memadamkannya dari sistem kami,” menurut kenyataan portal itu.
Terdahulu, Sultan Abdullah zahir rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan sebuah portal berita memuat naik laporan bersifat fitnah mengaitkan titah baginda merujuk satu parti politik.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mohamed Zahari Yahya, berkata laporan bertarikh 22 Mac itu bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.
Zahari berkata, Sultan Abdullah turut mengingatkan semua pengamal media supaya meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar dari maksud sebenar.
Hari ini, Pemuda PAS menyatakan akan buat laporan polis terhadap portal berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengaitkan PAS dengan titah Sultan Pahang.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi, berkata pihaknya kecewa dengan apa dikatakan pelaporan palsu dibuat atas titah baginda.