Kisah Nadia Murad Basee Taha, 23, bermula 3 Ogos dua tahun lalu, apabila Daesh menyerbu kampungnya di Kocho, dekat utara bandar Sinjar.
Kumpulan militan itu membunuh ratusan lelaki termasuk enam saudara Nadia dan menangkapnya bersama puluhan wanita lain.
“Kami dibawa ke Mosul dan diperkosa serta diperdagangkan berulang kali sebagai hamba seks. Bagaimanapun, saya bertuah kerana berjaya melarikan diri pada November tahun yang sama,” katanya.
Selepas melarikan diri, Nadia ke Stuttgart, Jerman, bagi mendapatkan rawatan sebelum ke Amerika Syarikat untuk menjadi aktivis bagi meningkatkan kesedaran tentang jenayah Daesh terhadap wanita Izadi Kurds dan penyeludupan manusia.
Januari lalu, Kerajaan Iraq mencalonkan Nadia untuk Hadiah Nobel 2016 bagi aktiviti aktivisnya, dan kelmarin, PBB bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) melantiknya secara rasmi sebagai Duta Muhibah badan dunia itu. – Agensi