Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Nik Adid Nik Mat, 43, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula hari ini.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Kelantan, Idham Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Syaerah Meor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan internet untuk menyiarkan gambar bertajuk ‘Pesta Bogel’ berunsur lucah dengan niat menyakiti hati orang lain di Jalan Maahad Saniah, Pasir Puteh pada jam 9 malam, 8 Ogos 2014.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki filem lucah di lokasi sama pada jam 4.45 pagi, 21 Ogos 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2014 yang dihukum seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.