KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Keningau atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Tenom, sejak 29 tahun lepas.
Majistret Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridal Abdul Kadir, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Ridal diarah menjalani hukuman dari tarikh tangkapan pada 29 Jan lepas dan akan dikenakan penjara tambahan enam bulan, jika gagal membayar denda.
Tertuduh kemudian membayar denda itu.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pada 11.30 pagi 29 Jan lepas, pemeriksaan dokumen dijalankan di kawasan letak kenderaan kuarters guru sekolah sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal bin Abdul Kadir.
Semakan lanjut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan jabatan itu, tetapi dengan taraf pemastautin sementara dan tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan palsu itu untuk bekerja sebagai guru.
Semakan juga mendapati tertuduh memiliki dokumen pengenalan sementara dengan nombor serta nama sama dan daftar kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon hukuman dalam bentuk pencegahan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan keadilan sosial, selain memiliki dokumen pengenalan diri palsu adalah tindakan salah serta tidak bertanggungjawab.
Peguam mewakili Ridal, Korventt Wheezar meminta hukuman diringankan kerana sepanjang 29 tahun mengajar di sekolah itu, tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa berkelakuan baik, selain mengaku salah dalam kes berkenaan. – FMT