Malah sindiket pengedaran dadah itu yang mempunyai kumpulan WhatsApp turut menggunakan konsep pemasaran pelbagai peringkat (MLM) untuk ‘ejen’ mereka mengaut keuntungan dengan memperoleh dadah pada harga istimewa jika memasarkannya kepada rangkaian besar.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tengku Hanizar Tengku Awang berkata, risikan pihaknya mendapati bekalan dadah dihantar ahli sindiket ke alamat yang diberikan pelanggan dan transaksi dibuat secara tunai.
Menurutnya, antara nama jalanan dadah yang dikenal pasti ialah ‘butterfly’, ‘playboy’ untuk ecstasy, ‘weed’, ‘sayur’, ‘pot’, ‘Mary Jane’, ‘roach’, ‘blunt’ bagi ganja, ‘snow’, ‘blow’ ‘toot’ untuk kokain dan ‘fit’ ‘fun’, ‘Cik Putih’ bagi heroin.
“Nama jalanan ini digunakan untuk mengaburi mata orang lain dan mengelak aktiviti mereka dikesan, misalnya jika seseorang itu menerima bungkusan bertulis ‘Mary Jane’ atau berkomunikasi dengan sindiket menggunakan nama jalanan spesifik, sudah tentu sukar untuk ahli keluarga ‘menghidu’ kegiatan tersebut,” katanya, baru-baru ini.
Selain pelajar, pengunjung kelab hiburan juga antara yang berada dalam kumpulan WhatsApp itu, menggunakan media sosial sebagai platform menempah dadah diingini.
Tengku Hanizar berkata, jika pembeli mempromosikan dadah berkenaan dalam kalangan rakan, mereka akan dapat bekalan pada harga istimewa daripada pembekal, misalnya 10 gram ganja boleh diperoleh dengan harga RM50.
Katanya, gejala dadah dalam kalangan pelajar di ibu kota semakin membimbangkan dengan jumlah dikesan positif dadah tahun ini meningkat.
Menurutnya, setakat Januari hingga Julai tahun ini, seramai 72 pelajar sekolah menengah dikesan positif dadah dengan 60 daripadanya positif ganja di Kuala Lumpur.
Statistik tahun lalu pula menunjukkan 48 pelajar dikesan positif dadah, dengan 44 positif ganja.
“Setakat Januari hingga Julai tahun ini, AADK menjalankan saringan air kencing terhadap 2,575 pelajar 100 sekolah membabitkan empat daerah iaitu Cheras, Dang Wangi, Brickfields dan Sentul,” katanya. – Bernama