VIDEO: Gol ajaib Faiz dinobatkan pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016

Â

Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia).

Kejayaan meraih anugerah tersebut menggembirakan jutaan rakyat Malaysia, yang jauh beribu kilometer daripada suasana musim dingin di bandar tasik Swiss itu.

Mohd Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan gong sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puska, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi Ronaldo pada 2009.

Mohd Faiz merupakan ‘arkitek’ dan jaringannya disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lepas.

Jaringan luar biasa beliau itu, antara yang dianggap paling menarik sepanjang tahun lepas, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sepakan percuma itu agak mengelirukan dengan bola pada mulanya melencong ke arah penjuru kanan gawang Pahang sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah menyebabkan penjaga gol, Nasril Nourdin tergamam.

Mohd Faiz, pemain kelahiran Kedah, menerima anugerah semasa majlis Anugerah Terbaik FIFA 2016 yang disiarkan di seluruh dunia dan ditonton secara langsung di internet daripada Pusat Teknologi dan Produksi Switzerland.

Selepas pemain tersohor Portugal, Ronaldo menerima pengiktirafan tersebut, Anugerah Puskas dimenangi pemain Turki, Hamit Altintop (2010), pemain Brazil, Neymar (2011), Miroslav Stoch dari Slovakia (2012), Zlatan Ibrahimovic dari Sweden (2013) dan pemain Colombia, James Rodriguez pada 2014.

Pemain kurang ternama dari Brazil, Wendell Lira, menggondol anugerah berkenaan pada 2015.

Tiga finalis – Mohd Faiz, Marlone dan Rodriguez – disenarai pendek daripada keseluruhan 10 jaringan tercantik bagi musim 2016.

Sepakan percuma jarak jauh oleh Lionel Messi ketika Argentina membenam Amerika Syarikat 4-0 pada kempen Copa America dan kuisan Neymar sebelum melepaskan rembatan ketika Barcelona menentang Villarreal, gagal tersenarai antara tiga gol paling menarik bagi menerima anugerah berkenaan.

Â

https://www.youtube.com/watch?v=tN9knMF3dAo

Â

Related posts

VIDEO: Jamal mungkin letak jawatan Ketua Bahagian UMNO Sg. Besar, akan ‘usahakan’ judi haram

VIDEO: Ku Nan sedia disiasat polis

VIDEO:Rafizi kempen boikot Petron