Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kerja-kerja pengurusan sampah dan sisa pepejal di Selangor dilaksanakan oleh syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. sebelum ini sehinggalah selepas PRU 2008, apabila kerajaan negeri enggan menandatangani Akta 672 dan mengambil alih pengurusan perkhidmatan itu daripada syarikat berkenaan.
“Bagaimanapun, saya kesal apabila isu ini dipolitikkan dan Exco kerajaan negeri sendiri tak faham istilah tamat tempoh kontrak…lagipun kerajaan negeri juga enggan tanda tangani perjanjian di bawah Akta 672.
“Lagipun tempoh tambahan dua tahun itu adalah pilihan diberikan WHB tapi bila kontrak tamat, KPKT dipersalahkan dituduh kejam sedangkan kerajaan negeri gagal menguruskan isu sisa pepejal yang serius,” katanya ketika diminta mengulas isu pembatalan kontrak WHB melalui surat bertarikh 3 Ogos lalu yang turut mendapat respons negatif Exco kerajaan negeri.
Jelas Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor itu lagi, KPKT sebelum ini memajak tanah selama 21 tahun dengan kerajaan negeri dan membelanjakan hampir RM77 juta.
Malah kata Noh, KPKT juga menanggung kos untuk menyediakan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21, Shah Alam itu termasuk pembelian kenderaan untuk kegunaan WHB.
“WHB yang dilantik sebagai operator bagi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal itu mengutip keuntungan hampir RM1.7 juta sebulan namun bila kenderaan rosak minta KPKT baiki.
“KPKT tidak akan teruskan kontrak WHB dan akan ambil alih selepas ini kerana kerajaan negeri jelas masih gagal urus isu sampah di Selangor,” tegasnya.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib sebelum ini menyifatkan pembatalan tersebut merupakan satu tindakan sabotaj dan penindasan kepada rakyat Selangor yang berniat menjejaskan operasi pengurusan sampah di negeri ini.