Gabenor Bank Negara nafi dipaksa berhenti

Sebaliknya, beliau berkata, pilihan untuk bersara adalah keputusannya sendiri setelah bertugas di BNM sejak 35 tahun lalu.

Zeti, yang kini berusia 68 tahun merupakan antara tokoh penting di peringkat pembuat dasar sehingga berjaya mengeluarkan Malaysia daripada menerima kesan paling buruk akibat Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998.

Dalam sidang akhbar Taklimat Laporan Tahunan 2015, Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2015 di sini hari ini, beliau turut menaruh keyakinan tinggi bahawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat diselesaikan menjelang tempoh persaraannya.

“Lima tahun lalu, ketika saya diberi lanjutan tempoh perkhidmatan, saya telah berbincang dengan rakan baik saya yang juga gabenor di bank pusat rantau Asia dan mereka menggalakkan saya terus memegang jawatan ini. Dalam masa sama, saya juga masih ada sesuatu yang perlu dilakukan.

“Tetapi kini, semua perkara itu telah saya laksanakan yang turut dibantu oleh pasukan yang begitu berdedikasi. Maka, apabila tempoh perkhidmatan saya tamat, saya merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk menyerahkannya kepada orang lain kerana banyak bidang baharu yang akan diberi tumpuan.

“Dalam konteks ini, tiada ‘tangan ghaib’ yang terlibat seperti mana tanggapan sesetengah pihak. Malah, saya yakin BNM akan terus menjadi institusi yang memiliki kredibiliti yang tinggi selepas tugas saya berakhir,” katanya.

Zeti yang masih mempunyai 38 hari tempoh perkhidmatan dijangka menamatkan tugasnya sebagai Gabenor BNM pada 30 April ini setelah mengetuai bank pusat itu sejak Mei 2000.

Beliau sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk tidak menyambung perkhidmatannya atau menerima lantikan semula sebagai gabenor dan berharap penggantinya mempunyai latar belakang yang relevan, selain tidak dipilih dalam kalangan ahli politik atau individu yang membawa agenda politik pihak tertentu.

Pada 11 Mac lalu, Zeti berkata, Lembaga Pengarah BNM telah mengemukakan cadangan mengenai bakal penggantinya kepada kerajaan dan menyerahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong.

Media sebelum ini melaporkan, tiga tokoh yang disebut-sebut menggantikan Zeti ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah serta tiga Timbalan Gabenor BNM.

Ketika ditanya tentang kriteria penggantinya, beliau memberitahu, individu tersebut perlu mempunyai pengetahuan yang luas terutama dengan mengambil kira persekitaran ekonomi semasa yang mencabar.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia