Beliau berkata, orang ramai khususnya ibu bapa perlu melihat dengan gambaran lebih besar bahawa pelaksanaan sistem baharu itu tidak lagi tertumpu kepada sasaran akademik semata-mata.
“Dalam soal ini (pelaksanaan sistem PBS) sesetengah negara sudah buat lama seperti Jepun, Korea, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Jadi penggunaan sistem baharu berasaskan PBS ini memberi gambaran sistem pendidikan kita semakin beralih ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya dipetik Berita Harian.
Mengulas lanjut Mahdzir berkata, pihaknya menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan calon UPSR tahun ini dijadikan bahan uji kaji oleh kementeriannya.
“Calon peperiksaan UPSR tahun ini adalah kohort pertama mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak diperkenalkan kepada murid Tahun Satu pada 2011,” katanya.
Tahun ini, semua pelajar yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) didedahkan dengan semua aspek mengenai format baharu peperiksaan itu sejak tahun 2011.
UPSR yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 5 hingga 8 September lalu mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan, dengan hanya 1.11 peratus pelajar berjaya memperoleh keputusan semua A.
Pencapaian keseluruhan dalam semua subjek juga rendah berbanding tahun lalu, berikutan format baharu yang dianggap punca utama menjejaskan prestasi semua calon.