Filem Munafik rangkul 4 anugerah FFM 28

Menerusi filem itu, pengarahnya Syamsul Yusuf turut merangkul Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Penyunting Terbaik manakala aktres Nabila Huda menggondol gelaran Pelakon Wanita Terbaik.

Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi Pekin Ibrahim menerusi filem ‘Mat Moto-Kami Bukan Mat Rempit’.

Filem Tamil tempatan ‘Jagat’ diangkat menjadi Filem Terbaik Malaysia FFM 28 dengan pengarahnya Shanjey Kumar Perumal memenangi anugerah Pengarah Baharu Terbaik.

Sebanyak tiga filem diberikan Anugerah Khas Juri iaitu ‘Ola Bola’, ‘Polis Evo’ dan ‘The Kids From The Big Apple’.

Anugerah itu, yang diterajui pengacara Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, turut menyaksikan Deddy M Borhan iaitu pengarah dan penerbit filem termasuk filem ‘Azura’, ‘Gila-gila’ dan ‘Toyol’ dinobatkan sebagai Karyawan Sepanjang Zaman.

Filem ‘Polis Evo’ turut menggondol tiga anugerah termasuk Filem Box Office dengan jumlah kutipan tayangan sebanyak RM17.4 juta.

Pelakon Baharu Wanita Terbaik dan Pelakon Baharu Lelaki Terbaik pula dimenangi Falisha Crossley (Mat Moto-Kami Bukan Mat Rempit) dan Adam Shaz (Juvana 2).

FFM tahun ini juga menyaksikan pelakon veteren Fauziah Datuk Ahmad Daud memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem ‘Langit Cinta’

manakala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik disandang Hushairi Hussain (Polis Evo).

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman. – Bernama

Related posts

Jaafar Onn Meninggal Dunia

Lil John Mendapat Hidayah di Bulan Puasa

Selain solat dan puasa, Lindsay Lohan akui tenang baca al-Quran