Fenomena air pasang terburuk selepas tsunami 2004

Seorang penduduk Kampung Padang Salim, Shaari Abdul Rahman, 67, berkata kejadian air pasang bukanlah sesuatu yang pelik, namun kesannya kali ini lebih ketara kerana ia menyebabkan banjir.

Menurutnya, air laut mulai pasang sejak petang Sabtu lalu, tetapi yang paling teruk ialah pada kira-kira 2.30 pagi semalam yang menyebabkan rumah dan kedainya dinaiki air laut berserta lumpur.

Beliau berkata ketika kejadian, beliau dan isterinya Halijah Ahmad, 60, serta dua anak mereka Mohd Zulhaizal, 23, dan Mohd Zulkhairi, 21, sedang tidur.

Mereka kemudiannya bergegas bangun bagi enyelamatkan barangan seperti peti sejuk dan mesin basuh daripada ditenggelami air.

Shaari berkata air kembali surut kira-kira setengah jam kemudian dan mereka sekeluarga mula mencuci kesan lumpur yang terdapat di dalam rumah mereka yang terletak kira-kira 200 meter dari pantai.

“Sejak Tsunami dahulu, kerap berlaku kejadian air pasang, namun pagi tadi ia paling teruk dan membuatkan kami lebih berwaspada, bimbang tragedi Tsunami berulang lagi,” katanya kepada Bernama.

Mariam Abdul Rahman, 50, pula berkata ketika kejadian, beliau bersendirian di rumah kerana suami dan adik lelakinya mempunyai urusan di luar.

“Saya merasa takut kalau Tsunami berlaku lagi,” katanya.

Mohd Sabri Awang, 54, dari Kampung Sungai Meriam pula berkata beliau bersama isterinya Hasma Zainun, 53, ibu mentuanya yang sakit Biah Md Daud, 80, serta anaknya yang kurang upaya, Mohd Khairul Nizam, 21, sedang tidur ketika rumah mereka dinaiki air.

“Apabila terjaga, saya dapati tilam tempat saya berbaring sudah basah dan air semakin naik sehinggalah kami semua dipindahkan ke pusat penempatan,” katanya.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata seramai 769 mangsa daripada 195 keluarga masih berada di lima pusat penempatan setakat jam 5 petang semalam.

Beliau berkata pusat tersebut ialah di Sekolah Kebangsaan Seri Kuala yang menempatkan 267 orang dari 78 keluarga; Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Meriam dengan 262 orang dari 64 keluarga; Dewan Kampung Paya (94 orang dari 19 keluarga); Surau Kampung Sungai Yu (74 orang dari 19 keluarga) dan Dewan Telok Amboi (72 orang dari 15 keluarga). – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia