FAM sedang siasat individu beri ‘pendrive’ pada TMJ

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit selepas mengetahui isi kandungan sebenar pemacu pena itu daripada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

“Setakat ini, kita tidak tahu lagi siapa sampaikan maklumat kerana kita biarkan perkara (maklumat dalam pemacu pena) tersebut disahkan terlebih dahulu oleh menteri.

“Kalau ada kakitangan atau pegawai yang membocorkan rahsia ini sudah tentu tindakan tegas akan diambil. Kami telah berbincang dengan barisan exco dan kita lihat perkembangan selanjutnya selepas ini,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Khairy dalam laporan media bagaimanapun berkata isi kandungan dalam pemacu pena yang diserahkan Tunku Ismail tidak menemui bukti penyelewengan ataupun ketirisan dalam badan induk sukan itu.

Menurut Khairy kandungan pemacu pena itu adalah dokumen teknikal berkenaan bola sepak Malaysia.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, FAM bersedia berjumpa dengan Khairy sekiranya dipanggil untuk membincangkan isu pemacu pena tersebut.

Kontroversi tercetus apabila Tunku Ismail mendakwa mempunyai pemacu pena yang mengandungi bukti penyelewengan dalam FAM termasuk berkaitan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia. 

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2