Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk bola sepak negara itu juga akan bertindak mengikut prosedur.
“So far (setakat ini) kita ikut accordingly (bertindak sewajarnya). Kita ikut prosedur,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Hamidin yang juga pengurus skuad Harimau Malaysia bagaimanapun mengelak untuk mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Kedudukan Kim Swee semakin hangat dibicarakan apabila beberapa tokoh bola sepak negara mendesak beliau supaya berundur setelah gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam kempen Piala AFF, baru-baru ini iaitu melayakkan diri ke sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.
Skuad Harimau Malaysia tersingkir dari saingan Piala AFF Suzuki selepas tewas 0-1 kepada Myanmar pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon, 26 November lalu.
Selain perlu menunjukkan prestasi yang baik di kejohanan Piala AFF, jurulatih berusia 45 tahun itu juga dikehendaki memastikan skuad Harimau Malaysia mara pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 dan memperbaiki ranking negara dari 170 ke tangga 140.
Antara yang mendesak peletakan jawatan jurulatih kelahiran Melaka itu adalah bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, bekas pengendali Harimau A, Azraai Khor Abdullah dan bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir.
Sebelum ini, Kim Swee menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebaliknya menyerahkan kepada FAM untuk menentukan kedudukannya.
“Kenapa saya perlu melepaskan jawatan? Saya tidak pernah memikirkannya. Kontrak saya masih berjalan hingga penghujung tahun depan.
“Jadi apa saja yang berlaku terpulang kepada pengurusan untuk membuat keputusan dan pada masa sama saya perlu melihat kepada (perancangan) untuk tugasan seterusnya,” kata Kim Swee.